SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menggerakkan operasi bantuan makanan bagi mangsa banjir yang terperangkap di kawasan kediaman.
Perkara itu diputuskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas mendapati banyak kejadian tular melibatkan penduduk yang terkandas lama akibat rumah dinaiki air.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bantuan makanan secara umumnya hanya disalurkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Namun, kita mendapati ada mangsa yang terperangkap lebih 12 jam termasuk berada di atas bumbung rumah.
“Justeru, kementerian hari ini memutuskan operasi bomba akan turut menumpukan bantuan segera makanan kepada penduduk yang terjejas itu,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor di sini.
Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis.
Jelas Reezal, JBPM sentiasa bersiap siaga menghadapi keadaan di luar jangka seperti bencana banjir serius yang berlaku di Selangor.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 28,272 anggota bomba dikerah dalam kesiapsiagaan operasi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
“Ia turut melibatkan aset sedia ada seperti peralatan menyelamat, kenderaan angkut dan bot. Selain darat dan air, JBPM juga sentiasa bersedia menggerakkan penyelamatan udara menggunakan aset sedia ada,” katanya.
Tambah Reezal, pihaknya turut bercadang untuk memohon perolehan darurat terutama bagi menambah baik aset bomba sedia ada.
“Ia antaranya melibatkan aset seperti bot-bot kecil yang bersesuaian dan praktikal bagi operasi menyelamat,” katanya.
Mengulas situasi banjir di Selangor, beliau memaklumkan hasil pemantauan bomba mendapati paras air di beberapa kawasan di sekitar daerah ini mula menunjukkan penurunan.
“Namun, ia bergantung kepada faktor hujan yang diharap akan kembali pulih dalam tempoh satu atau dua hari,” katanya.