PETALING JAYA: Situasi banjir bertambah buruk apabila jumlah mangsa terus meningkat kepada 22,826 orang berbanding 17,036 orang pada pukul 11 pagi tadi.
Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat 1.30 petang, jumlah itu melibatkan 7,824 keluarga di lapan negeri iaitu Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Pahang mencatatkan negeri tertinggi mangsa banjir dengan 10,555 orang diikuti Selangor (6,111), Kelantan (4,149), Melaka (588), Kuala Lumpur (526) Negeri Sembilan (492) dan Terengganu (332) dan Perak (26).
Sebanyak 309 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.
Terdahulu Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran bahaya (merah) dengan hujan sangat lebat dijangka berterusan berlaku melibatkan beberapa daerah negeri Perak seperti Manjung, Kinta, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Amaran tahap buruk (jingga) juga dikeluarkan membabitkan Kedah (Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama dan Kuala Kangsar) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan).
Selain itu, amaran tahap waspada (kuning) dengan hujan berterusan dijangka berlaku melibatkan beberapa lokasi di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.