PUTRAJAYA: Sebahagian besar hospital swasta di Lembah Klang yang tidak terjejas isu banjir besar turut tampil membantu ramai mangsa bencana alam tersebut sejak Sabtu lalu.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, usaha itu dilakukan tanpa arahan daripada mana-mana pihak demi kebajikan penduduk sekitar.
“Tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini malah memberi kelegaan apabila mangsa diberi bekalan makanan dan perubatan ekoran banjir itu,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.
Katanya, ada hospital anggota APHM yang menyediakan rawatan dan bantuan awal pesakit luar dalam zon kecemasan didirikan pelbagai agensi di beberapa dewan komuniti.
Mangsa yang ada gejala seumpama demam, katanya, turut diuji dan diasing dengan petugas hospital swasta perlu mengambil langkah pencegahan awal penularan kes wabak Covid-19.
Kebanyakan hospital tersebut turut mengerahkan pegawai perubatan ke beberapa pusat penempatan sementara (PPS) untuk melaksanakan penilaian kesihatan kepada mangsa selain membekalkan ubat-ubatan untuk mangsa yang ada penyakit kronik namun kebanyakan yang berlindung dengan mengalami kecederaan kecil telah diberi rawatan. – UTUSAN ONLINE