Banjir: ADUN Hulu Kelang tidak perlu jadi batu api  - Shahril Hamdan  - Utusan Malaysia

Banjir: ADUN Hulu Kelang tidak perlu jadi batu api  – Shahril Hamdan 

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan dakwaan kononnnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lewat bertindak menguruskan banjir yang melanda Lembah Klang adalah tidak benar dan tidak berasaskan fakta. 

Beliau berkata, ini kerana dakwaan tersebut seolah-olah ingin melepaskan tangan dan hanya ingin menuding jari kepada pihak lain tanpa mengambil apa-apa tanggungjawab bagi diri sendiri, sedangkan semua perlu bekerjasama apatah lagi dalam fasa pasca banjir. 

Katanya, sekarang ini masanya untuk pengamal politik yang diberikan amanah dan tanggungjawab memberi khidmat yang terbaik kepada rakyatm bukannya menaikkan kemarahan serta tuduh menuduh. 

“Tuduhan Perdana Menteri lambat bertindak. Pada 17 Disember lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah memberi taklimat mengenai taburan hujan yang jarang berlaku hingga menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir.

“Sehabisnya taklimat tersebut, Perdana Menteri mengarahkan segala kementerian berkaitan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kesihatan untuk menggerakkan aset bagi tujuan operasi menyelamat, mengurus, dan menyelaras di semua kawasan. 

“Kawasan saya sendiri Kuala Langat, sudah bersedia untuk menerima mangsa semenjak pagi hari Sabtu, 18 Disember dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun mula menguruskan mangsa-mangsa banjir. (Jadi) Perdana Menteri telah mula bertindak selepas hujan menunjuk trend taburan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib yang mendakwa Ismail Sabri lewat bertindak menguruskan banjir yang melanda Lembah Klang. 

Bagi tuduhan Ismai Sabri tidak buat apa-apa pula, Shahril Sufian berkata, Perdana Menteri bergegas ke pusat kawalan Nadma bagi menyelaras tugasan dan tindakan yang perlu diambil bagi menyelamatkan mangsa-mangsa banjir. 

Katanya, ini disusuli dengan lawatan ke Bukit Lanchung di Putra Heights memastikan agar aset-aset kerajaan segera pindahkan mangsa-mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Pagi Ahad pula, Perdana Menteri ke Telok Gong, Klang bagi melawat mangsa-mangsa banjir di Klang, beliau terus mengarahkan JKM agar memberi segala kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir. 

“Hari yang sama, Ahad 19 Disember, Perdana Menteri terus umumkan pakej bantuan kepada mangsa banjir, ini termasuk: Peruntukan Awal RM100 juta untuk pemulihan infrastruktur pasca banjir, bantuan wang ihsan sebanyak RM1000, geran padanan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebanyak RM40 juta dan penempatan Anggota Kesihatan dan kemudahan asas di setiap PPS. 

“Maka tak adil untuk menuduh Perdana Menteri tidak buat apa-apa atau bertindak lambat kerana segalanya telah digerakkan hari Jumaat, 17 Disember 2021,” ujarnya. 

Bagi kenyataan ADUN Hulu Kelang itu yang seolah-olah Ismail Sabri bertindak in bad faith dan mala fide pula, Shahril Sufian berkata, tuduhan itu adalah satu tuduhan yang amat berat dan hujah yang digunakan adalah kerana Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor bukan Menteri Besar Selangor. 

“Untuk makluman Yang Berhormat Hulu Kelang, menuding jari tidak membina dan tidak produktif. Saya tak mahu politikkan isu ini. 

“Tetapi negeri Pahang dilanda banjir yang paling teruk dalam sejarah. Meskipun begitu, keadaan terkawal kerana Menteri Besar Pahang bertindak awal dan telah pun bersedia untuk menghadapi banjir. Malah, beliau sendiri meninjau semua kawasan yang dilanda banjir,” katanya. 

Jelas beliau, seperti yang dikatakan oleh ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar sebelum ini, yang menguruskan banjir di Selangor bukan MKN, tetapi jawatan kuasa pengurusan bencana. 

“Melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Kerajaan Negeri Selangor memiliki akses kepada aset-aset kerajaan seperti Tentera. Jawatan kuasa ini dijawat oleh Ketua Polis Negeri, Panglima Tentera Negeri, dan Pegawai Daerah. 

“Berhenti tuduh menuduh, Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan beri komitmen kepada Menteri Besar (Selangor) bahawa bantuan dan aset kerajaan persekutuan akan dan sudah pun mula bergerak pada hari Sabtu 18 Disember. 

“Ini dibuktikan oleh ciapan Menteri Pertahanan di mana beliau memuat naik gambar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah pun berada di kawasan banjir semenjak tengahari Sabtu,” katanya. 

Justeru, beliau berkata, ADUN Hulu Kelang itu tidak perlu menjadi batu api dengan mengajak mangsa-mangsa banjir memfailkan saman terhadap Ismail Sabri. 

“Sekarang masanya untuk kita bertindak menguruskan fasa pasca banjir. Banyak rumah yang perlu dibersihkan, jalan yang perlu diturap semula, mangsa yang kita pastikan dapat bantuan daripada kerajaan. Saya sarankan Saari teruskan beri khidmat yang terbaik kepada semua. 

“Saya doakan segalanya dipermudahkan oleh Allah bagi mangsa-mangsa banjir. Kerajaan Persekutuan dan UMNO akan terus memberi khidmat terbaik kepada semua yang terkesan. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya