ALOR SETAR: Lebih 7,047 pegawai dan anggota polis di lapan negeri yang terlibat banjir telah digerakkan bagi membantu mangsa yang terjejas akibat bencana alam tersebut.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada 568 pegawai dan 6,479 anggota akan memberi tumpuan kepada usaha mencari dan menyelamat bersama pasukan beruniform yang lain.
“Setakat ini kalangan pegawai dan anggota yang digerakkan itu hanya melibatkan mereka yang bertugas di negeri-negeri terjejas dengan turut dibantu elemen-elemen tertentu dari Bukit Aman.
“Pegawai dan anggota di negeri lain yang tidak terlibat dengan banjir diminta untuk berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya mereka diperlukan bergerak ke kawasan terjejas. Dalam masa sama, mereka juga diminta melakukan persediaan sekiranya berlaku pula banjir di negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Kedah, Wilayah 1, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Malaysia, Datin Seri Anizah Musa serta Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Lapan negeri terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.
Mazlan memaklumkan, kalangan pegawai dan anggota yang dikerah bagi membantu mangsa banjir itu termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasukan 69 komando (VAT 69).
“Isu sekarang ini kata tak nampak polis, saya nak maklumkan di sini bahawa 7,047 pegawai dan anggota kini ditugaskan untuk turun padang di kawasan banjir,” katanya.
Mengulas mengenai markas taktikal dirasmikannya itu, Mazlan berkata, bangunan tersebut mula dibina pada 2005 dan telah berada dalam keadaan uzur, sebelum siap dibaik pulih dengan kos RM200,000 pada tahun ini.
“Markas taktikal ini nyata membantu dalam meningkatkan pencapaian polis marin di sini. Berbanding nilai rampasan cuma RM6,400 pada 2020, nilai rampasan keseluruhan pada tahun lalu ini pula meningkat kepada RM450,221.
“Markas ini penting memandangkan kedudukannya yang berada hampir dengan sempadan Thailand. Keberadaannya mampu mengekang kegiatan penyeludupan bahan terlarang selain ketirisan hasil pungutan cukai negara,” katanya.