KUALA SELANGOR: Seramai 500 penduduk Kampung Bestari Jaya di sini, masih terperangkap dan terputus hubungan berikutan perkampungan itu ibarat ‘pulau’ yang dilanda banjir sejak semalam.
Bencana itu susulan pertembungan air antara kawasan sebuah bekas lombong dan Sungai Rantau Panjang berdekatan kawasan tersebut.
Selain 250 rumah dinaiki air, penduduk tidak dapat keluar berikutan jalan utama kampung itu masih pada paras dada atau setinggi dua meter.
Penduduk, Azmi Ahmad, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Rahimah Merah, 41, yang masih berpantang dan bayi perempuan berusia sebulan sedang berehat di rumah mereka, kira-kira pukul 7.30 petang.
“Hujan lebat berterusan menyebabkan air naik hingga paras lutut dan kami segera keluar menyelamatkan diri. Kami sempat mengambil dokumen penting dan mengalihkan kereta ke kawasan selamat,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai kampung itu, petang tadi.
Turut hadir, Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang meninjau lokasi banjir dan menyalurkan bantuan barangan keperluan asas kepada mangsa.
Bagi suri rumah warga emas, Tukimah Sadimin, 60, kejadian banjir kali terakhir berlaku pada 1995.
“Namun, bencana kali ini lebih teruk sehingga menyebabkan masjid, klinik desa dan sebuah sekolah agama turut ditenggelami air. Lebih perit apabila kami tidak boleh keluar masuk ke kawasan lain dan mempunyai bekalan makanan terhad sebelum ini,” kata nenek kepada empat cucu itu.
Sementara itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pemantauan mendapati situasi banjir di kampung tersebut agak terkawal dan mula surut.
“Namun, kita menerusi Jawatankuasa Unit Bencana Daerah Kuala Selangor akan terus memantau kebajikan semua mangsa. Selain itu, hasil mesyuarat jawatankuasa petang tadi akan meminta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) mendaftarkan dewan berkenaan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.