PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membangunkan Pelan Hala Tuju Pengurusan Sisa Pepejal Ke Arah Ekonomi Kitaran iaitu perancangan jangka masa panjang bagi melaksanakan transformasi dan mempercepat peralihan dari ekonomi linear ke ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal.
Ketua Setiausahanya, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, langkah itu juga bagi memudah cara dan menyokong Agenda Ekonomi Kitaran yang dinyatakan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di bawah Bab 8 iaitu Mempercepat Pertumbuhan Hijau untuk Kemampanan dan Daya Tahan.
“Transformasi pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan Penggunaan dan Pengeluaran Mampan (SCP) ini dilihat dapat mengurangkan penjanaan jumlah sisa pepejal dalam jangka masa panjang.
“Selain itu, ia mengurangkan impak kepada alam sekitar bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, bagi menyahut seruan dalam RMK12 ini, Menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengusulkan agar ditubuhkan satu platform nasional dipanggil sebagai Majlis Ekonomi Kitaran Negara yang antara lain dapat mempercepat agenda ekonomi kitaran secara kolektif, tersusun dan bersepadu.
“Sehubungan itu, penubuhan majlis ini juga merupakan antara agenda yang dibincangkan dalam sesi libat urus kali ini,” katanya.