Bangunan sebelum 1985 berisiko terbakar, runtuh - JBPM

Bangunan sebelum 1985 berisiko terbakar, runtuh

BEBERAPA anggota forensik bomba dan penyelamat melakukan pemeriksaan keadaan rumah pangsa Sri Johor yang musnah terbakar semalam, dipercayai akibat kebocoran gas. - FOTO/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bangunan termasuk kediaman-kediaman tinggi yang dibina sebelum 1985 terutamanya di Lembah Klang berisiko kepada berlaku kebakaran dan runtuh kerana bahan binaan yang diguna ketika itu tidak mengikut spesifikasi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Bagaimanapun, bangunan tersebut dikecualikan untuk tempoh tertentu.

Malah, Utusan Malaysia pada Mac lalu turut mendedahkan, kira-kira 3,442 bangunan dalam kategori Premis Ditetapkan namun berisiko kerana tiada Perakuan Bomba atau ‘fire certificate’ (FC) yang berkuat kuasa.

NOR HISHAM MOHAMMAD

Ini kerana ada antara premis tersebut dikesan melakukan pengubahsuaian yang menyalahi undang-undang malah ada diantara bangunan yang dikenal pasti tidak mempunyai keselamatan dan perlindungan kebakaran yang mencukupi sehingga boleh membahayakan penghuni, termasuk kelengkapan yang ada tidak diselenggara dengan baik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kebanyakan premis, rumah dan bangunan yang dibina sebelum CCC dikuatkuasakan pada 1985 didapati menggunakan bahan atau material yang tidak sempurna.

Bagaimanapun, katanya, premis-premis tersebut dikecualikan dan pemeriksaan berkala dibuat bagi memastikan ia selamat diduduki.

“Bahan binaan diguna untuk bangunan lama ada yang tidak diuji ketahanannya, berbeza dengan material kini yang mewajibkan kesemua bahan perlu lulus ujian pemeriksaan.

“Contohnya batu blok digunakan atau yang tidak sempurna hingga terdedah kepada api, atau mudah pecah atau retak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam, sebanyak lapan unit Perumahan Awam Sri Johor, Cheras dekat sini musnah terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam.

Kebakaran itu melibatkan 32 mangsa daripada lapan keluarga di tingkat empat kediaman berkenaan dan kesemuanya disahkan selamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya kini masih mengenal pasti punca kejadian tersebut.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati seorang daripada penghuni terdengar bunyi letupan sebelum api marak membakar tingkat empat kediaman itu.

“Pasukan forensik masih menjalankan siasatan malah kita sedang ambil keterangan kesemua penghuni untuk mengenal pasti punca sebenar,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN