Gotong-royong, baiki sendiri 14 kilometer jalan balak rosak

Baiki sendiri 14 kilometer jalan balak rosak

PENDUDUK Orang Asli bergotong-royong membaiki kerosakan jalan balak di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan, semalam. - FOTO/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Enggan berpeluk tubuh menunggu bantuan, penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini memutuskan untuk membaiki sendiri laluan jalan balak ke kampung mereka yang rosak dilanda bah.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati kira-kira 30 penduduk sedang bertungkus-lumus membaiki laluan utama menghubungkan kampung mereka dengan dunia luar sejauh 14 kilometer itu.

Wakil mereka, Kamal Alek, 36, berkata, selagi jalan balak itu tidak dibaiki, ia menyusahkan mereka untuk keluar ke bandar Gua Musang sama ada untuk membeli barangan keperluan atau urusan lain.

“Jalan balak ini merupakan laluan utama penduduk Orang Asli di pedalaman untuk ke bandar Gua Musang sejak puluhan tahun lalu.

“Selepas hujan reda kami sepakat bergotong-royong meratakan tanah menggunakan cangkul serta kayu hutan sebagai alas bagi mengurangkan kerosakan jalan. Usaha ini dilakukan sejak dua hari lalu,” katanya.

Tambah Kamal, penduduk yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong itu datang dari beberapa penempatan Asli seperti Kampung Tidag, Kampung Perawas, Kampung Manjul dan Kampung Balar Lama.

Seorang lagi penduduk, Mus Alang, 41, berkata, mereka bekerja secara sukarela membaiki jalan itu demi memberi kemudahan kepada semua penduduk kampung.

“Kami berusaha membaiki kerosakan jalan balak ini walaupun prosesnya begitu sukar dan panjangnya sehingga 14 kilometer.

“Kami berharap kumpulan pacuan empat roda (4×4) yang ingin melakukan aktiviti lasak di kawasan ini menangguhkan hasrat mereka itu bagi mengelak lebih banyak kerosakan teruk,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya