Baik pulih kereta banjir boleh cecah RM30,000 sebuah - Utusan Malaysia

Baik pulih kereta banjir boleh cecah RM30,000 sebuah

AZIZUL Bajuri menunjukkan proses baik pulih sebuah kereta Perodua Bezza ditenggelami banjir pada minggu lalu dihantar ke bengkelnya di Jalan Permai, Pandamaran di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya empat atau lima hari tempoh yang diperlukan untuk membaiki sesebuah kereta yang tenggelam akibat banjir selepas mengambil kira jangkaan kerosakan serta pembersihan.

Tempoh berkenaan dikatakan paling singkat dinyatakan kebanyakan bengkel, namun, tetap memerlukan pemeriksaan susulan untuk mengenal pasti sebarang kerosakan lain yang tidak dapat dikesan di peringkat awal.

Menurut seorang pemilik sebuah bengkel kereta di Jalan Permai di Pandamaran, Klang, Azizul Bajuri, 38, sebuah kereta memerlukan sehingga lima orang untuk memastikan enjinnya boleh dihidupkan dan ruang kabin dibersihkan.

Dia yang menerima 12 kereta banjir dari lima kawasan terjejas itu menyatakan, dalam satu masa, dia hanya dapat membaiki dua buah kereta secara serentak kerana kerosakan akibat banjir terlalu rumit untuk diperbaiki.

“Terutama sekali kerja-kerja mencuci bahagian enjin dan kabin kerana terlalu banyak alat ganti yang kotor dan perlu dibersihkan sebelum pembaikan dapat dilakukan dan dalam tempoh itu juga peralatan yang rosak dapat dikenal pasti.

“Selepas cucian, barulah kerja baik pulih komponen rosak dilakukan seperti pertukaran minyak enjin, kotak gear, komponen pendikit, penyedut udara dan banyak lagi bahagian yang memerlukan tempoh masa sehingga empat atau lima hari bergantung kepada jenis kenderaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau menambah, kos baik pulih pula bergantung kepada jenis kenderaan dan usia bergantung kepada kecanggihan sesuatu kereta.

Jelas Azizul, lazimnya kereta baharu akan menelan belanja lebih untuk baik pulih kerana terlalu banyak komponen elektronik yang berisiko rosak.

“Kos antara RM600 hingga RM2,000 dianggarkan bagi kereta-kereta lama kerana tidak banyak menggunakan komponen elektronik, cukup sekadar selenggara semula enjin seperti tukar minyak serta membersihkan komponen yang kotor.

“Tetapi, bagi kereta yang mempunyai komponen elektronik yang kompleks seperti kebanyakan kereta baharu tanpa mengira model Honda, Proton atau jenama mewah sekali pun, kos baik pulihnya sudah pasti lebih RM3,000, kalau tidak cabut bateri ketika banjir, lagilah mahal kosnya,” jelasnya.

Sementara itu, pemilik bengkel di Taman Kemuning Prima, Jalan Bukit Kemuning, Mohd. Hafiz Fahmi, 40, memberitahu, kos baik pulih kereta-kereta berteknologi tinggi boleh mencecah sehingga RM30,000.

“Paling rendah bagi kereta yang ada komponen elektronik yang pernah saya siapkan baru-baru ini adalah Perodua Alza yang memerlukan pertukaran unit kawalan enjin (ECU) serta alat ganti lain sekitar RM1,700.

“Tetapi, bagi model yang sama juga ada yang menelan belanja sehingga RM3,000 kerana banyak sensor rosak serta komponen lain seperti kompresor penghawa dingin, motor kipas radiator, alternator, suis tingkap automatik dan bateri,” jelasnya.

Tambahnya, sejak menerima kereta banjir, dia terpaksa menambah pekerja dan memanjangkan tempoh waktu perniagaan bagi membolehkan lebih 20 kereta dapat disiapkan dengan cepat untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Bagi pemilik bengkel di tempat sama, Lim Wei Tuan, 35, dia memaklumkan hanya mampu menerima sehingga lapan buah kereta banjir untuk dibaiki termasuk kereta jenama mewah seperti Mercedes dan BMW.

“Bagi kereta mewah, kereta memerlukan masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk disiapkan kerana komponennya lebih kompleks termasuk peralatan elektroniknya berbanding model lain.

“Kalau model hibrid pula lebih rumit dan kosnya pula lebih tinggi, lazimnya bagi kereta mewah yang baharu dan dilengkapi pelbagai teknologi, kos baik pulih bermula sekitar RM7,000 ke atas, lagi canggih kerta lagi mahal kos repair,” selorohnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di bengkel-bengkel yang menerima kereta-kereta banjir untuk dibaik pulih menawarkan potongan harga antara tiga hingga 30 peratus dengan tujuan untuk meringankan beban mangsa.

Namun, rata-rata pemilik bengkel menasihatkan agar pemilik kenderaan mengambil pelan perlindungan bencana dalam polisi insurans supaya jika berlaku banjir supaya tanggungan kos baik pulih tidak terlalu membebankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya