SHAH ALAM: Meskipun peruntukan undang-undang terhadap pesalah yang membuat pencemaran di sumber air di Selangor telah ditambah, terdapat juga beberapa pihak yang tetap membuat kesalahan sama.
Hal ini berlaku apabila sebuah kilang memproses makanan telah membuang efluen ke Sungai Rinching, Kajang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima aduan berhubung perkara terbabit pukul 8.45 pagi semalam.
“Siasatan awal pihak LUAS mendapati terdapat kesan berbuih pada permukaan air anak Sungai Rinching yang merupakan anak Sungai Semenyih.
“Lantas siasatan menyeluruh yang dijalankan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mendapati terdapat kesan berbuih di sekitar aliran longkang dari kawasan premis kilang berdekatan Fasa 7 Kesuma Beranang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua pihak terbabit mengikut kesan buih itu sehingga ke syarikat yang membuat bahan pencemar dan siasatan lanjut dijalankan.
Kata Loy Sian, pihak MPKj telah mengeluarkan kompaun kepada premis terbabit atas kesalahan melakukan pencemaran.
“Tindakan pensampelan efluen di titik pelepasan akhir telah dijalankan pihak LUAS dan JAS sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.
“Pihak LUAS juga turut mengambil sampel di lokasi kawasan insiden pencemaran, aliran selepas premis kilang, dan juga di hulu aliran longkang sebelum kilang,” jelasnya.
Menurut Loy Sian, LUAS telah membuat kertas siasatan di bawah Seksyen Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga tahun.
Sementara itu, dalam tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Rinching Tengah, Kajang hari ini, keadaan anak sungai terbabit kembali pulih, walau bagaimanapun terdapat timbunan sampah hanyut.
Aliran air di anak Sungai Rinching melalui beberapa kawasan di Kampung Rinching Tengah dan sebuah tempat ternakan ayam di sana.