Bahan mentah mencukupi, roti Gardenia terjejas di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Bahan mentah mencukupi, roti Gardenia terjejas di Pulau Pinang

ABDUL HALIM Hussain (kiri) dan Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar meninjau barangan keperluan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2021 Tanjung Tokong, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri seperti di  Selangor dan Pahang ketika ini tidak mengakibatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan sayur untuk kegunaan harian di Pulau Pinang terjejas. 

Bagaimanapun, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya menerima aduan bekalan roti jenama Gardenia ke negeri ini terjejas susulan situasi banjir di Selangor. 

“Kita telah berhubung dengan pembekal bahan-bahan mentah dan kami memberi jaminan bahawa bekalan barangan mentah tidak terjejas ekoran banjir di beberapa negeri. 

“Ada bekalan yang kita terima dari Selangor seperti ayam, namun bekalan adalah mencukupi untuk kegunaan harian penduduk negeri ini,” katanya selepas menghadiri pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2021 di sini hari ini. 

Yang turut hadir,  Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain. 

Sebanyak 15 jenis barangan antaranya ayam, telur ayam, sayur-sayuan dan daging disenaraikan di dalam SHMMP Krismas bagi memastikan tiada kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan itu. 

Menurut Mohd. Ridzuan, harga barangan seperti sayur-sayuran yang sebelum ini ada di antaranya meningkat sehingga 100 peratus juga telah kembali stabil secara berperingkat pada masa ini. 

“Dari segi stok makanan dan sayuran kita dapati memang tiada masalah dan harga juga telah stabil. 

“Kita juga menempatkan anggota penguat kuasa di pasar-pasar awam serta kawasan tumpuan orang ramai untuk membeli belah bagi memastikan tiada kenaikan harga melampau berlaku. 

“Para pengguna diminta untuk menyalurkan segera maklumat kepada pihak KPDNHEP sekiranya terdapat barangan yang mengalami kenaikan harga mendadak,” katanya. 

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya telah memeriksa sebanyak 54,731 premis di negeri ini sepanjang tahun ini dan 680 kes dihasilkan melibatkan pelbagai akta. 

“Semua kes itu melibatkan nilai rampasan berjumlah RM579,116 dan nilai kompaun RM540,900,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya