Hanya bermodalkan sebungkus tepung gandum untuk membuat maruku, Ku Nazirah Ku Ahmad, 45, kini mengusahakan jenama Ba’at Kerepek House.
Akui Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ini, perusahaan dikendalikan sejak 24 tahun lalu, berjaya menembusi pasaran di beberapa stesen minyak sekitar lebuh raya di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor.
Selain itu, Ku Nazirah juga memiliki bengkel untuk memproses pelbagai jenis kerepek, maruku dan biskut untuk dijual kepada pembeli dan agen.
“Antara kerepek yang saya hasilkan ialah pisang masin, pisang BBQ, ubi masin, maruku bulat, rempeyek, kuih siput dan banyak lagi.
“Setiap kerepek dihasilkan segar hampir setiap hari untuk diedarkan ke pasaran yang ditetapkan,” katanya, ketika dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, selain itu Ba’at Kerepek House juga berjaya menembusi beberapa pasar raya di sekitar Kedah bagi kategori biskut seperti tart, almond london, semperit dan banyak lagi.
“Setiap kali menjelang musim perayaan, hampir 10 jenis biskut diketengahkan di bawah jenama ini dan dijual pada harga mampu milik.
“Untuk tempahan, boleh kunjungi Facebook, Ba’at Kerepek House Tunjang dan Ku Nazirah atau hubungi 019- 7560295,” katanya. – UTUSAN