PETALING JAYA: Setelah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang 10 pusingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Azroy Hakeem Anuar akhirnya dinobat sebagai juara keseluruhan CP150 2021.
Pelumba Honda Yuzy Idemitsu itu memenangi Pusingan 10, iaitu perlumbaan terakhir musim di Sepang hari ini, sekali gus mengesahkan kejuaraan.
Selepas dua hari meredah hujan dan banjir akibat ribut, pelumba Cub Prix akhirnya menikmati cuaca sempurna dalam perlumbaan terakhir musim 2021 di Litar Sepang Selatan.
Walaupun kedudukan pendahulu keseluruhan dirampas oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing pada Pusingan 9, Azroy enggan menyerah.
Tahniah Azroy Juara Keseluruhan CP150 Musim 2021! Tahniah juga buat Afif dan Akid! #PETRONAScubprix #PETRONASmotorsports pic.twitter.com/CFhy58Vj3O
— Malaysian Cub Prix #CubPrixEraBaru ✊? (@msiancubprix) December 19, 2021
Pelumba Honda Yuzy Idemitsu itu memilih strategi konservatif dalam perlumbaan l akhir sepanjang 11 pusingan itu.
Tatkala pelumba lain berasak untuk mendahului perlumbaan, Azroy cuma fokus mengekalkan kedudukan dalam kalangan kelompok pertama.
Berbaki tiga pusingan, Azroy mula mengorak langkah meletakkan dirinya di tempat yang strategik.
Strategi ‘curi angin’ atau slipstreaming Azroy berjaya apabila dia membuat kejutan di garisan penamat.
Azroy berjaya mengungguli perlumbaan penutup tirai itu dengan catatan masa 14 minit, 13.682 saat.
Kemenangan itu sekali gus mengesahkan kedudukan Azroy sebagai juara CP150 2021 dengan 163 mata.
“Perlumbaan tadi memang mencabar kerana terlalu ramai pelumba Yamaha berada di depan, jadi saya memilih strategi yang lebih selamat.
“Musim ini juga mencabar bagi kami. Agak sukar untuk mendapat momentum apabila penganjuran perlumbaan terpaksa ditangguh akibat pandemik Covid-19.
“Saya amat bersyukur mendapat peluang menamatkan musim 2021 dengan kejayaan yang diidamkan. Saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan prestasi musim hadapan,” kata Azroy.
Tempat kedua dimenangi Ahmad Fazrul Sham dengan catatan masa 14:13.700s dan Izzat Zaidi Mohd. Salehan ketiga (14:13.702s).
Pesaing terdekat Azroy, Ahmad Afif Amran, menamatkan perlumbaan penutup tirai di tempat kelima, dan akur di tangga kedua keseluruhan dengan 157 mata. Mohd Akid Aziz menamatkan musim 2021 di tangga ketiga dengan 135 mata.
Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team berjaya menamatkan musim 2021 dengan nada positif apabila muncul juara CP125 dengan catatan masa 11: 08.299s.
Walaupun juara CP125 musim ini sudah ditentukan Mohd. Adib Rosley di Pusingan 9, persaingan kategori intermediate tidak kurang sengit.
Jom kita dengar sedikit ucapan dari Yrt Shahrol Yuzy, Team Principal Honda Idemitsu Yuzy Racing!#PETRONAScubprix #PETRONASmotorports pic.twitter.com/FtI5rJ0O8D
— Malaysian Cub Prix #CubPrixEraBaru ✊? (@msiancubprix) December 19, 2021
Hafiza bertarung hebat dengan persaing terdekat, Mohd. Syafiq Rosli serta Firdaus Mohd. Hamdan sebelum berjaya mencatat kemenangan keempatnya musim ini.
Buat kali ketiga berturut-turut, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing berjaya menggalas gelaran Juara Wira KBS.
Buruan takhta kategori bawah-17 yang berlarutan sehingga ke pusingan penutup tirai itu menyaksikan perbalahan hebat antara pelumba pasukan, Aqil Danial Nasrul serta Harith Haziq Zamri dari Castrol Power1 Honda Team.
Strategi serangan berpasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing nyata menjadi.
Sepanjang perlumbaan tujuh pusingan itu, Harith Haziq dikepung rapat tiga pelumba 31 Racing.
Meskipun jentera Honda dilihat memiliki kelebihan di selekoh, namun kelajuan jentera Yamaha di laluan lurus sukar digugat.
Pada akhir perlumbaan, kemenangan terakhir musim 2021 dimenangi Aqil Danial Nasrul dengan catatan masa 10:03.201s.
Kemenangan ini memastikan gelaran juara Wira KBS 2021 kepada Aqil dengan 148 mata.