BUKIT MERTAJAM: Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Azhar Arshad akan dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) baharu berkuat kuasa esok.
Pelantikan itu dipersetujui dan diluluskan sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 21 Disember lalu.
Ketua Menteri,Chow Kon Yeow dalam kenyataan berkata, pelantikan Azhar dibuat secara peminjaman untuk tempoh dua tahun dan pilihan pelanjutan satu tahun.
“Ketika ini, urusan pelantikan tersebut sedang diuruskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.
Azhar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Diploma Pendidikan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pengurusan Awam dan Kursus Sarjana Pengurusan Sumber Tanah akan menggantikan Datuk Rozali Mohamud, 63, yang tamat kontrak perkhidmatannya hari ini.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Penerangan serta beberapa Pejabat Daerah dan Tanah di Pahang sebelum berkhidmat di Pejabat SUK Pulau Pinang sejak November 2018.
Tedahulu, di bawah pimpinan Rozali, MBSP berjaya merangkul sembilan anugerah dan pengiktirafan sepanjang tahun ini selain melancarkan empat Pelan Tindakan Strategi dan menyediakan lapan pencapaian Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar untuk dinilai oleh rakyat.
Pencapaian lain yang berjaya diraih termasuk mendapat dua anugerah inovasi rekaan pertama di Malaysia yang didaftarkan dalam Daftar Hak Cipta menurut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332).
Selain itu, MBSP juga menjadi pemegang enam Malaysia Book Of Records; melaksanakan tujuh persijilan pengurusan serentak mengikut standard ISO dan mencapai kadar kitar semula 55.91 peratus pada tahun lepas iaitu pencapaian tertinggi dalam negara.
Terkini, MBSP juga telah mencapai status Bandaraya Rendah Karbon lebih awal daripada sasaran asal iaitu tahun 2022 apabila purata penghasilan karbon per kapita (CO2e) adalah sebanyak 5.39 tan lebih rendah dari purata penghasilan karbon sebelum ini iaitu 5.47 tan. -UTUSAN ONLINE