KUALA NERUS: Seorang doktor wanita berdepan detik cemas selepas Perodua Axia dipandunya terjatuh dari tebing setinggi lima meter sebelum terjunam ke pesisir Pantai Mengabang Telipot, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Rakannya, Mohd. Azwan Jusoh, 38, berkata, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ketika di selekoh sebelum terjatuh dari tebing laluan berkenaan.
“Mangsa jarang memandu seorang diri kerana sering dihantar suaminya ke klinik, tempat bekerja. Saya mengetahui tentang kemalangan itu pada pukul 4.50 pagi selepas diminta suami mangsa ke lokasi kejadian bagi melihat keadaan wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mohd. Azwan terkejut apabila mendapati kenderaan rakannya terjunam selain turut dipukul ombak. – UTUSAN ONLINE