TAWAU: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) akan terus mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan negeri Sabah bagi mengekang jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Maka, operasi berterusan akan dilakukan menerusi Op Pasir dan Op Benteng Bersama di kawasan pantai timur Sabah.
Komander ATB 2, Briged Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, pihaknya akan terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota ATB 2 dengan kerjasama agensi keselamatan lain untuk mengawal sempadan Sabah.
Semalam, Pasukan Tindakan Cepat (QRF) ATB 2 berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di Jalan Apas, Batu 3 kira-kira 8.10 malam.
“Semasa pemantauan anggota QRF, terdapat sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan dilihat bergerak rapat ke perkampungan rumah atas air di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas.
“Kemudian terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) turut berada di kawasan berhampiran yang digunakan untuk mengangkut kesemua PATI tersebut.
“Anggota QRF bertindak mengekori rapat dan menahan kenderaan itu dan pemeriksaan mendapati, seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dipercayai ejen dan lima PATI berada dalam kenderaan berkenaan.
“Lima PATI yang ditahan membabitkan tiga lelaki dan dua perempuan yang berusia antara tiga hingga 57 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, maklumat awal diperolehi daripada tahanan, kesemua PATI itu menaiki bot yang diaturkan oleh ejen dari Pulau Sebatik menuju ke Kampung Hidayat dan kemudian diambil oleh ejen menggunakan kenderaan menuju ke bandar Tawau.
Lelaki yang bertindak sebagai ejen ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 manakala, kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk proses saringan Covid-19 dan tindakan selanjutnya.
Operasi tersebut dilakukan dengan kerjasama Pasukan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan IPD.-UTUSAN ONLINE