ATB 2 patahkan cubaan seludup 100 tong petrol - Utusan Malaysia

ATB 2 patahkan cubaan seludup 100 tong petrol

Anggota ATB 2 menahan bot yang cuba menyeludup muatan petrol dari perairan Pulau Siamil, Semporna.-IHSAN ATM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Cubaan empat lelaki warga asing menyeludup keluar 100 tong petrol dari perairan Pulau Siamil, Sabah menuju ke Pulau Sitangkai, Filipina berjaya dipatahkan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Dalam kejadian pada pukul 8.25 malam Sabtu lalu, dua bot dinaiki empat awak-awak warga Filipina itu dikesan oleh Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, empat awak-awak berusia 19 hingga 50 tahun yang tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah itu kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Empat lelaki warga Filipina yang ditahan semasa cuba membawa keluar petrol dari perairan Semporna.-IHSAN ATM

Barang rampasan iaitu 100 tong minyak berkapasiti 35 liter setiap tong yang berisi petrol berjumlah 7,000 liter serta empat tong gas yang dianggarkan bernilai RM61,776 turut dibawa ke IPD.

Beliau berkata, pada awalnya, radar pemantauan pesisir pantai (CSS) mengesan pergerakan tiga bot yang mencurigakan di Pulau Danawan yang bergerak laju dari arah Pulau Siamil menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia ke Pulau Sitangkai Filipina.

Bertindak atas maklumat, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) digerakkan menaiki Viper04 bagi melakukan pintasan dan menahan ketiga-tiga bot tersebut. Namun, sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran pasukan QRF.

“Dua bot yang ditahan dibawa ke Jeti Pulau Siamil untuk pemeriksaan terperinci disebabkan keadaan laut yang bergelora. Pemeriksaan mendapati terdapat empat lelaki warga asing yang membawa 100 tong minyak yang berisi petrol dalam kedua-dua bot tersebut.

“Kesemua mereka ditahan kerana terlibat dengan aktiviti penyeludupan petrol dan melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 serta gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Karim berkata, kesemua tahanan dibawa ke Hospital Semporna untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan kesemua tahanan disahkan negatif.

Jelas beliau, kerjasama erat antara pasukan keselamatan dalam meningkatkan kawalan di sempadan negara membolehkan aktiviti jenayah rentas sempadan berjaya dipatahkan.

“Kejayaan kali ini membuktikan sistem radar milik Markas ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan memastikan POWB mampu mengesan dan mengawasi dengan lebih ketat sebarang ancaman di sempadan perairan pantai timur Sabah.

“Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa peranan radar turut menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah operasi. Malah, pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di bawah naungan ATB 2 akan terus menjamin keselamatan di perairan Sabah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya