DUNGUN: Seorang pesakit Covid-19 bersama empat ahli keluarganya yang terjejas akibat banjir di Kampung Shukur di sini dipindahkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), semalam.
Pegawai APM Daerah, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, lima sekeluarga yang berusia antara tiga hingga 55 tahun itu dipindahkan ke pusat kuarantin sementara di Klinik Kesihatan Pasir Raja, kira-kira pukul 2.30 petang.
“Kedudukan rumah mereka berada di kawasan rendah dan berisiko banjir jika hujan lebat berterusan, jadi kita mengambil inisiatif memindahkan lebih awal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Pasir Raja.
Ahmad Kamal berkata, setiap anggota bertugas memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika operasi pemindahan itu.
Katanya, kerja-kerja pemindahan berjalan lancar dengan lori segera dinyah kuman selepas urusan itu selesai.