PETALING JAYA : Syarikat MyEdusoccer optimis aplikasi PandaiBola yang sedang mereka bangunkan mampu digunakan bagi mengenal pasti bakat baharu dalam sukan bola sepak.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif MyEduSoccer, Muhamad Yazid Yahaya, aplikasi itu dibangunkan berpandukan program fizikal yang telah mereka adakan selama dua tahun
“Aplikasi ini akan membantu menganalisa perkembangan (pemain) berdasarkan maklumat yang dikumpulkan,” jelas Yazid.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik PandaiBola di Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch, Ahad lalu.
Aplikasi yang dibangunkan oleh anak tempatan itu, kini berada dalam peringkat akhir pembangunan dan ia berfungsi menerusi pengumpulan data berbentuk video dan gambar yang kemudiannya akan dianalisa oleh kumpulan pakar yang terdiri daripada para jurulatih berpengalaman dalam pembangunan bola sepak peringkat kanak-kanak.
“Modul yang kita bangunkan memerlukan peserta melakukan tugasan tertentu, yang mana analisa akan dijalankan oleh para pakar kami menggunakan sistem Rubrik,” jelasnya.