KEPALA BATAS: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia melepaskan jawatannya sekiranya ada lantikan baharu untuk menerajui parti itu.
Katanya, beliau bersedia memberi laluan kepada muka baharu jika dipersetujui ahli parti.
“Kita bagi ruang dan saya sendiri bagi ruang kalau konsensus (kesepakatan) parti nak terima pemimpin baharu.
“Kita harus terbuka, jangan terlalu mengongkong akan kebangkitan tokoh baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kesediaannya berundur sekiranya ada pemimpin baharu dipilih untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan PKR.
Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, proses pemilihan pemimpin PKR belum dilakukan setakat ini.
“Belum putus lagi bila pemilihan, kalau ada pemilihan kita mesti bagi ruang, tengok tokoh yang ditonjolkan. Kita lihat konsensus kepemimpinan bagaimana, kemudian kita ‘move on’ (bergerak ke hadapan),” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mutu pembangunan asas seperti pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak perlu dipertingkatkan selaras pindaan Rang Undang-undang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tambahnya, pelanggaran hukum dan prinsip sehingga kehilangan dana besar seperti balak dan kekayaan negeri bukan hanya berlaku di Semenanjung, malah termasuk pemimpin di Sabah dan Sarawak.
“Pemimpin politik semua kaya raya, baik di semenanjung atau Sabah dan Sarawak. Ini mesti dihentikan, semangat Malaysia itu sebenarnya adalah mengagihkan kekayaan kepada semua rakyat.
“Kalau dasar itu telus, akauntabiliti, kerajaan yang baik, kita mesti jamin semua rakyat terutamanya yang susah dan miskin mestilah diberi pembelaan kepada semua kaum,” katanya.
Terdahulu, Rang Undang-undang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah mendapat kelulusan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Negara hari ini. – UTUSAN ONLINE