REMBAU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) tetap prihatin dengan nasib setiap anggota koperasi di negara ini yang terjejas banjir.
Presiden Angkasa, Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, menerusi program tanggungjawab sosial koperasi (CSR), Angkasa akan menghulurkan sumbangan kepada anggota koperasi berdaftar yang terjejas banjir daripada 10,400 koperasi yang ada di seluruh negara.
Jelas beliau, bantuan tersebut sejajar dengan prinsip ketujuh koperasi iaitu mengambil berat terhadap masyarakat terutamanya anggota koperasi.
Tambahnya, setakat ini Angkasa telah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM5 juta bukan hanya membantu anggota koperasi yang terjejas banjir bahkan anggota barisan hadapan yang telah menjalankan tugas sejak tercetusnya pandemik Covid-19.
“Hampir 70,000 individu di seluruh negara telah dibantu melalui Angkasa dan kami akan membuat penambahbaikan bagi memastikan tiada anggota koperasi yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Kami juga menyeru kepada anggota koperasi supaya membantu masyarakat terutamanya dalam kalangan kategori 40 peratus terendah (B40) yang terkesan dalam apa juga musibah,” katanya.
Abdul Fattah berkata demikian kepada pemberita pada Program Penyerahan Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat CoopCare Angkasa Prihatin Pasca Banjir Negeri Sembilan di Surau Haji Mohd Taf, Kampung Kundur Hulu, di sini, hari ini.
Pada program berkenaan, sebanyak 100 pek barangan keperluan harian melalui Projek Barang Asas 100 (BA100) berjumlah RM5,000 diserahkan kepada penduduk setempat yang juga anggota Koperasi Kariah Masjid Kundur Hulu diagihkan.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, mana-mana koperasi yang terjejas banjir boleh membuat penangguhan pelaksanaan mesyuarat agung pada tahun ini dan perlu berhubung dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Jelas beliau, bencana banjir tersebut telah menyebabkan terdapat pejabat koperasi yang terjejas mengakibatkan minit mesyuarat dan pelbagai dokumen lain turut rosak.-UTUSAN ONLINE