Angkara tibi, Ashira terpaksa lupakan SPM - Utusan Malaysia

Angkara tibi, Ashira terpaksa lupakan SPM

SITI Nur Afiza Ibrahim membantu menguruskan Siti Nur Ashira yang kini terlantar sakit di rumah mereka di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya berbaki dua bulan namun Siti Nur Ashira Ibrahim, 17, terpaksa melupakan hasrat menduduki peperiksaan itu selepas disahkan menghidap tibi tahap empat, Mei lalu.

Akibat penyakit tersebut, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, di sini itu kian tenat dan hanya mampu terbaring apabila disahkan pula berdepan masalah paru-paru berair.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibunya Zuaridah Abdullah, 50, berkata, masalah kesihatan anak ketiga daripada empat beradik itu bermula selepas dia disahkan dijangkiti virus Covid-19, Mei lalu.

“Dalam masa sama, doktor memberitahu anak saya menghidap penyakit tibi tahap empat dan berat badannya yang sebelum ini 55 kilogram susut kepada 36 kilogram sahaja.

“Selepas pemeriksaan lanjut, dia didapati mengalami paru-paru berair dan pada Jun lalu, doktor terpaksa menebuk bahagian kanan paru-parunya bagi mengeluarkan lebihan air menggunakan tiub,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini, baru-baru ini.

Sekarang, Siti Nur Ashira sudah tidak mampu duduk sendiri, apatah lagi berdiri dan banyak menghabiskan masa terbaring kaku dengan segala urusan harian dibantu ibu serta kakaknya, Siti Nur Afiza, 23.

Kata Zuaridah, Siti Nur Ashira perlu berulang-alik ke Klinik Kesihatan Geting, tiga kali seminggu untuk membuang lebihan air dalam paru-paru selain perlu menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.

“Anak saya kini menggunakan lampin pakai buang dan kos perbelanjaannya dianggarkan RM400 sebulan. Semua perbelanjaan ditanggung bapa tirinya, Yusof Mamat, 72, yang bekerja sebagai nelayan. Dia sendiri sudah dua bulan tidak dapat turun ke laut.

“Saya berharap sangat pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat meluluskan permohonan untuk mendapatkan bantuan khusus untuk Siti Nur Ashira bagi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi keluarga ini di talian 019-6679133 atau menyalurkan sumbangan kewangan kepada akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301741000091277 atas nama Zuaridah Abdullah. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya