PUTRAJAYA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjangkakan angka korban bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor pada 15 Disember lalu lebih ramai berbanding 17 mayat yang ditemukan setakat ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, maklumat itu diperoleh daripada 14 mangsa yang terselamat dalam tragedi itu.
Beliau berkata, situasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga sukar kerana anggotanya terpaksa mengharungi keadaan laut bergelora ketika musim monsun ini.
Katanya, ia sudah tentu memberi cabaran kepada aset-aset SAR yang terlibat untuk melakukan pencarian itu.
“Angka sebenar pendatang tanpa izin (PATI) yang masih hilang atau lemas itu dipercayai melebihi 17 orang,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, insiden itu boleh dielakkan sekiranya PATI dan sindiket penyeludupan manusia tidak bersekongkol untuk menyeludup masuk ke negara ini melalui pintu haram.
Mohd Zubil berkata, mereka masuk dengan mempertaruhkan nyawa belayar ketika cuaca buruk, ombak setinggi tiga hingga lima meter serta kelajuan angin mencecah 50 kilometer sejam.
Menurutnya, sindiket penyeludupan manusia ini langsung tidak berhati perut malah mereka sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan risiko nyawa.
“Kami berharap tragedi menyayat hati ini dapat menjadi pengajaran dan membuka mata PATI serta sindiket penyeludupan supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan melalui jalan yang tidak sah,” katanya.
Katanya, sejak Mei 2020, Op Benteng menerusi pemantauan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) telah berjaya mengesan 1,110 sasaran curiga dengan 689 telah diusir keluar dari perairan Malaysia.
Jelasnya lagi, Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan negara terutamanya di kawasan hot spot di Johor Timur yang menjadi laluan utama kemasukan Pati ke negara ini.
Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia juga akan terus mempertingkatkan kerjasama bersama pihak berkuasa Indonesia menerusi perkongsian maklumat agar sindiket penyeludupan manusia dapat diburu dan dilumpuhkan ke akar umbi.-UTUSAN ONLINE