Angin kuat punca bumbung sekolah runtuh - Utusan Malaysia

Angin kuat punca bumbung sekolah runtuh

STRUKTUR bumbung yang runtuh sewaktu proses membaik pulih di SMK Seri Menanti, Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kejadian runtuhan bumbung sebuah blok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Menanti, di sini, baru-baru ini adalah berpunca daripada tiupan angin kuat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, siasatan pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah mendapati struktur bumbung itu masih dalam pembinaan dan belum ditutup sepenuhnya.

Katanya, angin kuat semasa kejadian memasuki struktur bumbung yang dalam keadaan separa terbuka telah menjadi punca kegagalan struktur bumbung di blok Meranti.

“Oleh demikian, KPM telah mengarahkan pihak perunding yang terlibat dengan kerja-kerja reka bentuk untuk menjalankan siasatan terperinci dan menyediakan laporan berkaitan kegagalan tersebut termasuk keselamatan kerja bumbung di blok bersebelahan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, kerja-kerja menaik taraf bumbung sekolah dan penyelenggaraan bangunan serta lain-lain yang berkaitan di sekolah berkenaan sebelum ini dilaksanakan melalui perolehan secara sebut harga oleh JKR Daerah selaras dengan peraturan perolehan yang berkuat kuasa.

“Untuk makluman, pihak JKR Daerah sebelum itu telah mengeluarkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor yang berjaya untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bumbung dan penyelenggaraan bangunan di sekolah berkenaan bermula 16 Ogos lalu dan dijangka siap pada Januari tahun hadapan.

“Dalam situasi ini, KPM dan JKR Daerah telah mengarahkan pihak perunding dan kontraktror untuk mengambil tindakan pembaikan dengan segera setelah siasatan terperinci dilakukan bagi memastikan blok-blok yang terlibat dapat digunakan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan bumbung sebuah blok di SMK Seri Menanti yang masih dalam pembinaan runtuh ketika sesi persekolahan di mana semua pelajar sedang menjalani waktu rehat pada Khamis.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan dua buah blok di sekolah itu terlibat dalam proses baik pulih bumbung ekoran strukturnya yang telah usang. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya