SEPANG: Isteri dan anak-anak menyelamatkan diri daripada banjir dibantu ahli keluarga dan jiran, manakala si suami pula sedang bertugas menguruskan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).
Itu dialami seorang anggota polis dari Balai Polis Dengkil, Koperal Muhsen Bujang, 34, yang tidak dapat membantu isteri serta tiga anak berusia 10, 8 dan 2 tahun selepas rumah mereka di Kampung Cemperai, Dengkil di sini dinaiki air.
Menceritakan pengalaman tersebut, Muhsen berkata, sewaktu kejadian, dia berada di PPS Taman Gemilang, Dengkil bagi menguruskan mangsa banjir di kawasan perumahan dan kampung tersebut pada 18 Disember lalu.
“Isteri saya telefon memaklumkan air dah naik di ruang hadapan rumah dan 20 minit kemudian, dia telefon semula serta bagitahu air dah masuk ke dalam rumah. Kejadian sangat cepat. Saya berada di PPS uruskan mangsa banjir lain, jadi tak sempat pergi tengok rumah. Mujur ada keluarga mentua tinggal berdekatan serta jiran dan kawan-kawan membantu memindahkan benda penting,” katanya ketika ditemui pada penyampaian sumbangan mangsa banjir pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhsen yang berasal dari Sarawak berkata, dua kereta miliknya dan isteri sempat diselamatkan, namun motosikal serta lain-lain barangan termasuk dokumen sijil kelahiran dan pengenalan diri anak ditenggelami air.
“Tahap kerosakan termasuk barangan boleh dikatakan 90 peratus kerana air sangat tinggi kira-kira lapan kaki. Kami sudah kembali ke rumah, namun belum membersihkan sepenuhnya, hanya sempat bersihkan tempat untuk tidur dahulu. Buat masa ini, kami menumpang bermalam di rumah biras di Desa Pinggiran Putra. Kampung Cemperai memang kawasan banjir dan untuk tahun ini, sudah empat kali banjir berlaku tetapi tidaklah masuk ke dalam rumah, hanya baru-baru ini paling teruk,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, seramai 39 pegawai dan anggota dari IPD Sepang menjadi mangsa banjir melibatkan mereka yang tinggal di kawasan Kampung Cemperai dan Kampung Labu Lanjut serta luar daerah Sepang iaitu Telok Panglima Garang dan Bukit Changgang, Kuala Langat.
“Kita berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM12,500 hasil kutipan tabung serta dibahagikan kepada 39 pegawai dan anggota yang terlibat. Kita juga menerima barangan sumbangan lain seperti tilam, bantal, cadar, cerek dan juga barangan makanan serta minuman. Ia hasil daripada individu dan syarikat swasta selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama menyumbang kepada pegawai dan anggota tersebut,” katanya serta menambah, kesemua pegawai dan anggota mangsa banjir turut diberikan cuti. – UTUSAN ONLINE