Anggota polis didakwa minta, terima rasuah RM7,000 - Utusan Malaysia

Anggota polis didakwa minta, terima rasuah RM7,000

MOHD. Zamri Ali (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM7,000 daripada seorang individu supaya tindakan undang-undang tidak dikenakan terhadap lima  pekerja warga asing, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zamri Ali, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Zamri sebagai anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Balai Polis Sikamat secara rasuah meminta satu suapan iaitu wang tunai RM4,000 daripada seorang individu.

Suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang kepada lima pekerjanya bagi kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Sikamat di sini, kira-kira pukul 6.30 petang, 23 Jun 2019. Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah secara rasuah memperoleh untuk satu suapan iaitu wang tunai RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kepada lima orang pekerja terbabit.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 9 malam di lokasi dan tarikh sama. Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu dalam prosiding kes, tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan perlu menanggung keluarga. Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Kes disebut semula 24 Januari ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya