SEGAMAT: Seorang anggota bomba yang terlibat dalam letupan ketika operasi memadam kebakaran sebuah kilang di daerah ini, kelmarin disahkan meninggal dunia pada pukul 4.15 pagi tadi.
Allahyarham Pegawai Bomba Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Segamat selepas terlibat dalam insiden itu.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahya Madis menerusi laman rasmi Facebook Bomba Johor sebentar tadi.
Mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat ditugaskan memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu pada 5.15 pagi, Sabtu lalu.
- Anggota polis rogol isteri tahanan sehingga hamil
- ‘Di asrama ramai anak iblis, mereka ikat kemaluan aku kat kipas’
- Kisah benar mangsa buli di asrama
Bagaimanapun, kira-kira pukul 10 pagi ketika operasi pemadaman masih dijalankan, berlaku satu letupan di tingkat tiga bangunan kilang yang menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.
Letupan menyebabkan Mohd. Firdaus dan seorang lagi anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang, Mohamad Azuraini Mahrani, 40, cedera parah selepas tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah.
Dalam kejadian sama, seorang lagi Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd. Al Atas, 52, yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala akibat terkena bahang letupan.
Ekoran insiden itu, Allahyarham Mohd. Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat, manakala Syed Putra menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Difahamkan, Allahyarham Mohd. Firdaus yang sudah mendirikan rumah tangga akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk urusan pengebumian di Sikamat, Seremban di Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE