PETALING JAYA: Anak sulung Perdana Menteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri merupakan antara sukarelawan yang terlibat membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat.
Nina Sabrina bersama suaminya Datuk Jovian Mandagie tanpa protokol bersama-sama dengan sukarelawan yang lain membersihkan lumpur di beberapa rumah di kawasan tersebut yang rosak teruk.
Seorang mangsa banjir di Kampung Dusun Tua, Daniel Mazlan berkata, dia terkejut dan terharu apabila anak sulung Perdana Menteri adalah antara sukarelawan yang datang membantu membersihkan lumpur di rumah keluarganya yang terkesan akibat bencana banjir.
Katanya, dia tidak menyangka Nina Sabrina dan Jovian sanggup meredah lumpur yang meliputi seluruh kawasan rumah mereka dan beberapa rumah di sekitar kawasan.
“Kami sekeluarga terharu apabila Nina dan Jovian sanggup membersihkan rumah kami dan meninjau keadaan rumah kami yang terjejas banjir.
‘’Kehadiran mereka beserta pasukan sukarelawan yang lain di sekitar kawasan kami secara tidak langsung meringankan beban kami yang sangat terkesan dengan bencana ini,’’ kata Daniel.
Bencana Banjir yang terjadi di kawasan Hulu Langat ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku.
Bencana ini telah memusnahkan sebahagian rumah, perabot serta peralatan elektrik selain kenderaan penduduk yang tidak dapat diselamatkan.