Ambil langkah segera atasi buli di sekolah - Utusan Malaysia

Ambil langkah segera atasi buli di sekolah

TENGKU HASSANAL Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) mengambil langkah segera mengatasi masalah buli di sekolah.

Pemangku Raja Pahang itu turut kesal dan dukacita dengan kejadian buli yang dilaporkan berlaku di beberapa buah sekolah di negeri ini, baru-baru ini.

Titah baginda, kejadian buli yang didakwa di tiga buah sekolah iaitu di daerah Rompin, Maran dan Lipis itu tidak seharusnya berlaku.

Sehubungan itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mahu JPNP mengambil langkah segera memastikan keselamatan persekitaran di sekolah.

“Ibu bapa juga perlu memberi peringatan dan nasihat tanpa jemu kepada anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti membuli sekali gus mengatasi isu yang menimbulkan keresahan masyarakat tersebut.

“Selain itu pentadbir sekolah juga perlu kerap mengadakan program kesedaran, keagamaan dan pendidikan sivik untuk menerapkan nilai positif dalam diri setiap pelajar,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-62 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, di sini, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mendahului senarai 128 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-62 Sultan Pahang.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyempurnakan istiadat penganugerahan yang berlangsung di Istana Abu Bakar di sini, semalam.

Hamzah dan Saifuddin antara 15 penerima darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama-sama ialah Ahli Lembaga Pengarah Deru Semangat Sdn. Bhd. , Datuk Raja Shaharudin Shah Raja Jalil Shah; Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah dan KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Semalam, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam tempoh empat hari bermula 6 Disember lalu, polis Pahang menerima laporan kes buli pelajar melibatkan tiga buah sekolah di negeri ini.

Tiga laporan kes buli itu diterima melibatkan pelajar di asrama sekolah di Muadzam Shah, Rompin; Maran dan sebuah sekolah berasrama di Lipis.

Kesemua pelajar terlibat dalam kejadian buli itu telah dikenal pasti dengan bantuan pihak sekolah terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN