PETALING JAYA : Amaran ribut petir dikeluarkan Jabatan Meteorologi membabitkan beberapa negeri dan diramalkan berlarutan sehingga 9 malam ini.
Menurut jabatan tersebut, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Perak (Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) dan Melaka.
“Selain itu, Sarawak (Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Mukah, Kapit, Miri dan Limbang) manakala Sabah pula membabitkan kawasan Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan, kawasan pantai barat dan Sandakan sehingga 8 malam,” kata kenyataan itu.
Selain itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Perak (Perak Tengah dan Bagan Datuk), Selangor (Klang dan Kuala Langat), Johor (Pontian dan Johor Bahru), Sabah (Kuala Penyu) dan Labuan sehingga 9 malam.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.