PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan atau tahap waspada membabitkan lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah ekoran Luruan Monsun yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga 3 Januari 2022.
Ketua Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, amaran itu dikeluarkan berkuat kuasa esok sehingga 1 Januari 2022 membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor.
Selain itu, amaran sama sehingga 2 Januari dikeluarkan untuk kawasan-kawasan di Sabah iaitu Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
“Angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.
“Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga 2 Januari,” katanya dalam kenyataan hari ini.