PETALING JAYA: Amaran angin kencang dan laut bergelora dengan ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku di beberapa perairan negara Laut China Selatan sehingga Ahad ini dan berbahaya kepada semua aktiviti pantai serta perkapalan.
Menurut Jabatan Meteorologi, kawasan itu membabitkan perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora atau kategori ketiga dengan angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan sehingga Ahad, 2 Januari 2022.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” jelas jabatan itu.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi memaklumkan, amaran angin kencang dan laut bergelora dengan angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.
Ia dijangka di kawasan perairan Tioman, utara Bunguranm tenggara Reef North, utara Reef South, Labuan , Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Keadaan itu menyebabkan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.
Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora dijangka di kawasan perairan timur Samui, selatan Bunguran, selatan Reef South, Sulu sehingga Ahad ini.
“Dijangka angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter. Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” jelas Jabatan Meteorologi. – UTUSAN ONLINE