ALOR SETAR: Tokoh ulama, Allahyarham Syeikh Yahya Asy’ari, 65, yang ditemukan rentung dalam sebuah kereta selepas terlibat kemalangan di Jalan Sungai Jagung, Padang Pusing, Pendang dekat sini, disifatkan seorang guru yang disegani dan mempunyai ilmu agama tinggi serta memiliki amalan mulia.
Seorang pelajar kepada tokoh ulama itu, Syeikh Aminuddin Abdul Rahim yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah berkata, beliau masih menjadi anak murid kepada Allahyarham Syeikh Yahya sejak 2001 sehingga kini.
“Saya ulang-alik ke rumahnya di Pendang untuk belajar agama. Jika masing-masing sibuk, saya menghubunginya jika mempunyai pertanyaan berkaitan ilmu-ilmu agama. Saya juga sering bermusafir dan beberapa kali mengerjakan umrah bersama Allahyarham Syeikh Yahya. Saya kali terakhir berjumpa pada bulan lepas di Perak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Semalam, mayat Allahyarham Syeikh Yahya ditemukan rentung selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya terbakar sebanyak 90 peratus selepas terbabit dalam melibatkan lima buah kenderaan di Jalan Sungai Jagung, Padang Pusing pada pukul 4.40 petang.
Dua daripada 11 mangsa yang terlibat kemalangan itu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang untuk menerima rawatan.
Syeikh Aminuddin memberitahu, Allahyarham juga mempunyai amalan-amalan mulia seperti tidak pernah meninggalkan solat jemaah dan solat malam walaupun ketika sibuk.
“Selain itu, beliau (Syeikh Yahya) juga tidak lupa untuk berzikir, wirid pagi serta malam dan sebahagian besar hidup beliau diisi dengan ilmu dan amalan,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga terkejut dan berduka ketika menerima perkhabaran kemalangan melibatkan Allahyarham semalam.
“Sebelum kejadian juga saya sempat menghubungi beliau dan mengaturkan pertemuannya bersama tiga ulama dari Yaman yang datang ke Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), Pokok Sena di sini yang juga tempat beliau mengajar sejak tahun 2003,” katanya.
Jelasnya, Allahyarham berasal dari Champa, Kemboja dan berhijrah ke Kedah serta pernah mendapat pendidikan awal di Pondok Bermin dan Pondok Bendang Ramah, Pattani kemudian melanjutkan pelajaran ke Mekah selama 28 tahun.
“Beliau juga menulis beberapa buah kitab seperti Ta’liq Matan ar-Jurmiyah, Ta’liq Aqidatul Athfal dan kitab terbaharu belum diterbitkan juga beliau sering menyemak bersama saya,” katanya.
Jenazah Allahyarham Syeikh Yahya telah dimandikan di Jabatan Forensik HSB dan dibawa keluar pada pukul 4 petang untuk disolatkan sebelum dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan KIDU, Pokok Sena. – UTUSAN ONLINE