Ali Biju tarik diri bertanding PRN Sarawak - Utusan Malaysia

Ali Biju tarik diri bertanding PRN Sarawak

ALI BIJU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Datuk Ali Biju mengumumkan menarik diri sebagai calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, keputusan itu dilakukan setelah mempertimbangkan dengan penyertaannya dalam pilihan raya negeri mungkin menyebabkan jalinan kerjasama dan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terjejas.

“Saya menginsafi hakikat bahawa keputusan ini akan menjejaskan hubungan baik di antara Bersatu dan GPS.

“Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN, mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara PN dan Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS.

“Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Ali menjelaskan, beliau menawarkan diri sebagai calon DUN Krian setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi di kawasan itu.

“Sebagai wakil rakyat yang telah dipilih semenjak tahun 2011, dukungan dan sokongan yang padu ini telah memperkukuh tekad saya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok,” katanya.

Isnin lalu, Ali membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian.

Keputusan itu bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini yang menafikan beliau akan menyerahkan kerusi itu kepada GPS.

Tindakannya itu antara lain bertentangan dengan pendirian Muhyiddin yang memutuskan tidak bertanding pada PRN kali ini, sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.

Ali berdepan saingan empat penjuru daripada calon GPS, Friday Belik; calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Danny Kuan.

Ali adalah penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal apabila meraih undi terbanyak pada PRN 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR. Pada 2016, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya