MELAKA: Lima sekeluarga sempat mengucap dua kalimah syahadah selepas kenderaan dinaiki mereka remuk dihempap pokok di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.25 petang itu, pasangan suami isteri berusia 59 dan 55 tahun serta tiga anak mereka berumur 19 sehingga 26 tahun terselamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut mangsa, Abdul Rashid Salim, kejadian berlaku ketika dia bersama keluarganya yang menaiki kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan dari arah bandar pulang ke rumah di Taman Datuk Tamby Chik Karim.
“Ketika memandu tiba-tiba sahaja kami mendengar bunyi dentuman kuat dan keadaan jadi gelap gelita. Saya dengar suara anak-anak semua selamat dan kami sempat mengucap dua kalimah syahadah serta membaca doa ketika masih dalam keadaan terkejut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, kesemua ahli keluarganya selamat tanpa mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur isteri dan anak-anak terselamat, mereka juga tidak mengalami kecederaan parah, namun tetap dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana khuatir ada kecederaan dalaman,” jelasnya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Hishammudin Umat berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.27 petang dan sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba dilokasi kita dapati sebuah kereta telah dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam keadaan merintangi jalan.
“Mangsa bagaimanapun telah dikeluarkan dari kenderaan dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya. – UTUSAN ONLINE