SHAH ALAM: Alasan pelanjutan kontrak kepada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) terhadap projek sistem Visa Luar Negara (VLN) menjadi persoalan apabila bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Alwi Ibrahim memaklumkan tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah pelaburan dilakukan oleh syarikat berkenaan.
Dalam jawapan yang diberikan oleh saksi keenam perbicaraan terhadap kes melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, beliau memaklumkan tidak mempunyai maklumat jelas mengenai perbelanjaan UKSB sehingga memohon kontraknya dilanjutkan.
Sebelum itu, peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal mempersoal tindakan Alwi menandatangani pelanjutan tempoh selama enam tahun lagi kepada UKSB seperti yang disyorkan secara 2+2+2.
Alwi dalam pernyataan bertulisnya memberitahu menerima satu surat iringan daripada pejabat Menteri Dalam Negeri pada 24 Oktober 2016 yang dilampirkan sekali surat daripada UKSB bertarikh 17 Oktober 2016 kepada Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri ketika itu.
“Surat itu berhubung permohonan Syarikat UKSB kepada Datuk Seri Zahid agar mendapat kelulusan dari Kerajaan Malaysia tentang lanjutan tempoh kontrak selama enam tahun iaitu bermula 31 Oktober 2019 sehingga akhir tahun 2025.
“Surat UKSB ini diminitkan kepada saya oleh Ahmad Zahid pada 18 Oktober 2016 dengan mencatat ‘Datuk Seri KSU/ Datuk PUU, saya tiada halangan pelanjutan kontrak tempoh enam tahun sehingga 31 Ogos 2025 – seperti tercatat dalam perjanjian perkara 2.2.1 yg sedia ada’.
“Sila sediakan ‘Supplementary Agreement’ untuk merealisasikannya dengan kadar segera’. Saya boleh camkan tulisan Ahmad Zahid kerana saya biasa melihat tulisan beliau dalam urusan rasmi harian,” katanya.
Beliau mengakui terpaksa akur dengan arahan menteri menerusi minit yang dikeluarkan untuk melanjutkan kontrak UKSB bagi pelaksanaan sistem VLN walaupun secara praktikal dilihat tidak sesuai kerana tempoh tamat masih jauh.
Menurut Alwi, permohonan pelanjutan kontrak berkenaan dibuat tiga tahun lebih awal daripada kontrak tamat iaitu pada 2019.
“Berdasarkan perkara 2.2.1 Perjanjian Untuk Membekalkan Sistem Bersepadu VLN yang dimeterai sebelum ini, syarikat boleh memohon perlanjutan tempoh kontrak tidak kurang dari enam bulan sebelum tarikh kontrak tamat.
“Saya boleh camkan surat iringan bertarikh 24 Oktober 2016 dan surat UKSB bertarikh 17 Oktober 2016 tersebut,” jelasnya.
Perbicaraan kemudian ditangguhkan dan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafamenetapkan prosiding bersambung esok (23 Disember) pukul 9 pagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri pada 2013 hingga 2018 itu berhadapan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana menerima suapan berjumlah S$13.56 juta sebagai dorongan bagi dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.
Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017. – UTUSAN ONLINE