Al-Sultan Abdullah santuni mangsa banjir di PPS SK Bukit Cermin  - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah santuni mangsa banjir di PPS SK Bukit Cermin 

MANGSA banjir disantuni oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin di Mentakab, Temerloh, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kesusahan dan kedukaan mangsa banjir di daerah ini sedikit terubat apabila mereka disantuni Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin, Mentakab, di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah yang meluangkan masa hampir sejam turut diiringi  anakanda Seri Paduka, Pemangku Raja Pahang,  Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

PPS SK Bukit Cermin menempatkan seramai 388 mangsa daripada 142 buah keluarga dari Kampung Mambang Berulang, Kampung Sungai Dingin, Kampung Chatin dan Kampung Serdang serta beberapa buah penempatan yang ditenggelami banjir air Sungai Semantan sejak 18 Disember lalu.

Mangsa banjir Kampung Chatin, Mentakab, Rohaiday Jamaludin, 43, berkata, sudah sembilan hari dia berada di PPS berkenaan dan tidak tahu bila boleh pulang ke rumah memandangkan senario air belum surut.

“Ketika kejadian pada malam Sabtu lalu, air naik sangat pantas sehingga sampai paras bumbung rumah dan saya hanya sempat menyelamatkan televisyen dan peti sejuk. Inilah kejadian paling buruk berbanding pada awal tahun ini dan agak peliknya ketika bah merah 2014 kampung kami langsung tidak dinaiki air,” katanya ketika ditemui di PPS SK Bukit Cermin hari ini.

Penduduk Kampung Sungai Dingin, Ruziah Mat Zain, 68, berkata, kediamannya juga mengalami nasib yang sama apabila dinaiki air paras bumbung.

“Terima kasih kepada Tuanku (Al-Sultan Abdullah) yang sangat prihatin dengan mangsa banjir di sini dan tidak lupa baginda menitahkan saya untuk berjumpa doktor ketika melihat kaki saya sakit, terima kasih Tuanku,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya