KUALA KANGSAR: Limpahan air Sungai Lawin menyebabkan Stesen Siren Kampung Talang Masjid di sini mengeluarkan bunyi amaran air pada paras bahaya sebanyak dua kali malam semalam.
Bunyi siren amaran itu turut menarik perhatian penduduk kampung untuk melihat situasi berkenaan selain terdapat dalam kalangan mereka yang merakam video kejadian itu hingga tular dalam media sosial.
Bagaimanapun tinjauan di lokasi kejadian hari ini mendapati air Sungai Lawin telah surut dan terdapat beberapa buah rumah dimasuki air.
Seorang penduduk Kampung Talang Masjid, Azhar Mohd Din berkata, siren amaran pertama berbunyi di antara pukul 9.30 hingga 10 malam.
Menurut Azhar, stesen siren itu mengeluarkan bunyi kedua sekitar pukul 10.30 malam dan air sungai sudah mula melimpah memasuki pekarangan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang diuruskannya.
“Air sungai tidak memasuki banggunan Pasti dan hanya banjir lumpur di lantai luar sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa banjir, Saifulnizam Mohd Yazid, 40, yang tinggal di Kampung Talang Hulu berkata, rumahnya dinaiki air melebihi paras pinggang.
Katanya, hujan lebat bermula pukul 4.30 petang sehingga 9 malam menyebabkan air sungai melimpah dan memasuki rumahnya sekitar pukul 11 malam.
“Rumah saya terletak berhampiran sungai, jadi apabila hujan pada waktu petang saya akan duduk di rumah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir. Namun limpahan air sungai semalam adalah antara yang teruk kerana ia melebihi paras pinggang dan surut lebih kurang pukul 4 pagi,” katanya.
Saifulnizam berkata, dia tidak mendengar bunyi siren amaran banjir tetapi sentiasa mengikuti perkembangan melalui kawan-kawannya sama ada air semakin naik atau tidak.
“Saya tidak dengar bunyi siren sebab jauh, tapi saya tahu dari kawan-kawan sebab air sungai ini datangnya dari empang di Padang Rengas kerana ada pertembungan dua sungai di situ. Saya berharap agar pihak berkuasa membina benteng atau ban di belakang rumah saya kerana setiap kali air sungai tinggi rumah saya mesti banjir,” katanya. – UTUSAN ONLINE