Air mata di mahkamah akhirnya dijel enam tahun, 10 sebat edar syabu 106.71g - Utusan Malaysia

Air mata di mahkamah akhirnya dijel enam tahun, 10 sebat edar syabu 106.71g

C. VIKNESVARAN (kanan) dijel enam tahun dan 10 sebat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengedar dadah jenis syabu 106.71g di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Seorang bekas budak pejabat dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan mengedar dadah jenis syabu seberat 106.71 gram (g), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman mengarahkan hukuman ke atas tertuduh, C. Viknesvaran, 23, bermula dari tarikh tangkap pada 22 Jun 2019.

Abd. Halim selepas menjatuhkan hukuman menasihat Viknesvaran agar benar-benar insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.

“Nasihat saya, selepas keluar nanti, jangan jadi macam ini. Kamu kata dapat upah RM200 tapi duduk dalam (penjara) berapa lama? Saya nasihatkan, jangan buat lagi dan cari kerja lain,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Viknesvaran didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 106.71 gram di Jalan Persiaran Kewajipan berhampiran Petronas pada pukul 3.50 petang, 22 Jun 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.

Terdahulu, peguambela, GS. Gabriel dalam rayuannya memohon supaya mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah dibuat tertuduh ketika pertuduhan pilihan ditawarkan telah menjimatkan masa dan kos.

Pihak pembelaan turut memohon agar keadaan kesihatan tertuduh yang mengalami sawan dan diletakkan dalam sel psikiatri di Penjara Sungai Buloh diambil kira bagi mengetepikannya daripada hukuman sebat.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datin Zuraini Abdul Razak memperakui fakta kes diberikan pihak pembelaan dan mengakui tertuduh berada dalam wad di penjara sepanjang berada dalam tempoh tahanan.

“Pihak pendakwaan bersimpati dengan penyakit dialami tertuduh namun memohon hukuman setimpal mengambil kira berat dadah syabu yang terlibat dalam kes ini.

“Pihaj pendakwaan menghujahkan bahawa sebatan merupakan satu mandatori dan bersetuju dengan apa dikatakan mahkamah dan memohon hukuman setimpal berdasarkan kesihatan tertuduh,” ujarnya.

Sementara itu, tertuduh yang memohon maaf ketika diminta untuk merayu dilihat beberapa kali mengesat air mata dan mengaku dia telah membuat silap.

“Saya memohon maaf dan mengaku ada buat silap. Saya mohon hukuman diringankan kerana emak saya tinggal seorang sejak berpisah dengan bapa.

“Saya mahu jaga emak, saya sedar telah buat salah dan berjanji untuk tidak mengulangi lagi,” katanya.

Ahli keluarga tertuduh termasuk emaknya yang berada di galeri awam turut dilihat mengalirkan air mata ketika mendengar rayuannya yang diucap dalam bahasa Tamil sebelum diterjemahkan jurubahasa. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya