KUANTAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang sedang menyelesaikan masalah air genang di daerah Mentakab, Temerloh susulan banjir teruk yang melanda kawasan berkenaan, dengan menggunakan ‘kaedah pengepaman’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, air banjir itu akan dipam dan dialirkan ke Sungai Semantan dan Sungai Netas di Temerloh.
Menurutnya, pengaliran air genang itu dijangka meningkatkan lagi paras yang berpunca dari hulu Sungai Pahang dan seterusnya mengalir ke hilir sungai.
“Satu pam telah mula dipasang semalam tetapi penggunaan satu pam itu tidak memadai. Dengan itu beberapa mesin lagi akan sampai dan kita harap air genang di bandar Mentakab akan dapat disedut semula ke Sungai Semantan.
“Dengan kaedah sebegini diharap proses air genang dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) dewan orang ramai Paya Besar, dekat sini, semalam.
Yang hadir sama dalam lawatan tersebut, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A. Rahman.
Mengulas lanjut, Abd. Latiff berkata, mesin pam akan ditambah sebanyak mungkin bagi menyelesaikan masalah air genang di Mentakab.
Katanya, terdapat lebih kurang 24 unit pam dalam simpanan JPS Perak dan setelah semua jalan boleh dilalui, proses logistik ke Mentakab dimulakan.
“Selain itu, terdapat satu lagi kaedah dengan penggunaan alat pemercik air atau Sprinkler, yang boleh juga membantu menyelesaikan masalah air genang dengan menyemburnya menjadi wap air.
“Teorinya sama, air disedut menerusi peralatan itu dan dijadikan sebagai semburan di kawasan sekeliling, biasanya digunakan untuk kerja-kerja penyiraman di kebun. Dalam suasana banjir kaedah tersebut mungkin boleh dilaksanakan juga.
“Kita pernah buat dan saya tengok air genang kering serta alatan ini akan kita perbanyakan. Jadi, alatan ini banyak membantu menyelesaikan masalah air genang,” katanya. – UTUSAN ONLINE