Ahmad Zahid tak sihat, perbicaraan ditangguh - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid tak sihat, perbicaraan ditangguh

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan menangguhkan perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas alasan beliau tidak sihat.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika ditemui berkata, Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membenarkan permohonan itu selepas pihak pembelaan memaklumkan keadaan kesihatan tertuduh.

“Peguam minta tangguh sebab tertuduh dikatakan sakit, tidak sihat. Walaupun tertuduh sudah sampai di pekarangan mahkamah, namun dia tidak sihat. Oleh kerana itu hakim membenarkan penangguhan,” katanya hari ini.

Menurut Raja Rozela, atas keadaan itu, mahkamah turut melapangkan tarikh hari ini dan esok daripada perbicaraan. Hari ini saksi keenam, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Alwi Ibrahim sepatutnya ditetapkan untuk prosiding pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Zahid yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri pada 2013 hingga 2018 berhadapan 40 pertuduhan kerana menerima suapan berjumlah S$13.56 juta sebagai dorongan bagi dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017. Prosiding perbicaraan ditangguhkan dan bersambung pada 3 Februari 2022. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya