PORT DICKSON: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, di sini hari ini atas dakwaan bersubahat membunuh seorang juruteknik, bulan lalu.
Tertuduh, R. Ravi, 53, didakwa bersubahat dengan empat individu yang sudah dituduh sebelum ini dan seorang yang masih bebas untuk membunuh A. Vasudevan, 39, pada 13 November lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Springhill, antara pukul 5.40 pagi hingga 9.45 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, V. Vanita.
Tiada jaminan ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainuddin bagi pertuduhan terbabit.
Tertuduh diwakili dua peguam diketuai Datuk Geethan Ram Vincent. Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, pada 23 November lalu, media melaporkan dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh, menculik serta menyamar sebagai anggota polis di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut.
Tiada pengakuan direkodkan bagi kesalahan membunuh dan melarikan bagi kedua-dua tertuduh, M. Murugan, 44, yang merupakan seorang ketua pengawal keselamatan dan Wong Yon Kuan, 43, penganggur.
Pada 17 Disember lalu pula, dua lagi lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan yang sama. – UTUSAN ONLINE