PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua agensi kerajaan berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka serta bertindak proaktif dalam memastikan persediaan menghadapi kedua banjir pada tahap terbaik.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah nasihat Seri Paduka itu susulan amaran tahap waspada atau kuning iaitu hujan berterusan yang dijangka dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari oleh Jabatan Meteorologi kelmarin.
“Menzahirkan keprihatinan tinggi Baginda terhadap kemaslahatan rakyat, Seri Paduka menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana-bencana banjir sebelum ini untuk membaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya segala urusan pasca banjir.
“Sehubungan itu, Seri Paduka menasihati agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak berkuasa tempatan supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.
“Seri Paduka menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi-operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka yang berada di kawasan berkepadatan tinggi dan juga pedalaman, dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menasihatkan rakyat khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah agar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku episod banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.
“Seri Paduka turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir, juga peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.
“Ini termasuk mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” katanya.
Katanya lagi, Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana. – UTUSAN ONLINE