MULHOUSE: Pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik 2012, Yannick Agnel mengakui ada melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur iaitu salah seorang anak perempuan jurulatihnya, kata seorang pendakwa raya, kelmarin.
Perenang berusia 29 tahun itu kini berada dalam tahanan polis Mulhouse sejak Khamis lalu selepas ditahan di kediamannya di Paris atas dakwaan merogol dan melakukan serangan seksual terhadap gadis terbabit.
Kata pendakwa raya tersebut, Edwige Roux-Morizot menerusi satu sidang akhbar semalam, Agnel bagaimanapun tidak berasakan perbuatannya itu sebagai paksaan.
Tambahnya, begitupun terma rogol dan serangan seksual dikenakan terhadap Agnel kerana terdapat jurang besar dalam usia di antara tertuduh dengan plaintif, Naome Horter iaitu anak perempuan jurulatih Lionel Horter.
Jelas Roux-Morizot, mereka berdua melakukan hubungan seks pada 2016 di mana Agnel ketika itu berusia 24 tahun, manakala gadis tersebut 13 tahun.
Sementara itu, Persekutuan Renang Perancis (FFN) dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu, badan induk itu sedia melancarkan tindakan sivil dalam kes tersebut.
“FFN diberitahu tentang pengakuan Agnel tentang ‘bahan dakwaan terhadapnya’. Keputusan dibuat secara rasmi semalam untuk menjadi pihak sivil di hadapan mahkamah kehakiman Mulhouse dalam kes ini,” kata FFN.
Perenang Perancis itu merupakan pemegang emas acara 200 meter dan 4x100m gaya bebas, selain menang perak 4x200m di Sukan Olimpik 2012 London. – AGENSI