PETALING JAYA: Adik kepada penyanyi dan usahawan, Datuk Fazley Yaakob, Farah Dilla Yaakob bersama suami dan empat cahaya mata yang terperangkap di rumah akibat banjir, sekitar 4 pagi semalam berjaya diselamatkan.
Menurut Fazley, kesemua mereka diselamatkan pihak bomba dengan menaiki bot, setelah berjaya menghubungi pasukan itu pada petang semalam.
Fazley juga memberitahu, adiknya mengalami keadaan yang getir dan bimbang ketika kediaman mereka dinaiki air banjir.
“Alhamdulillah, keluarga belah ipar dan abang sendiri berjaya hubungi badan berwajib untuk mereka datang menyelamat.
“Anak-anak buah saya seramai empat orang dan juga adik serta suami telah dapat dinaikkan di atas bot dan dipindahkan.
“Bantuan petang semalam amat dihargai. Perkongsian di Instagram saya menyebabkan ramai yang turut membantu mencari kawasan yang sama,” katanya.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Asmara ini turut memaklumkan adiknya dan keluarga kini selamat berada di rumah mentuanya di Bangsar.
Di samping itu, dia menitipkan rasa syukur dan menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang bersama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, adik saya menghubungi yang mereka telah sampai di rumah mentua. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan dan sokongan serta prihatin menerusi perkongsian berkenaan.
“Perkongsian itu juga membuka peluang untuk orang ramai yang terkandas dengan banjir untuk menceritakan situasi mereka dan berkongsi keadaan di mana kediaman mereka berada,” ujarnya.
Sebelum ini, Fazley ada memuat naik satu perkongsian video di entri Instagram yang memaparkan keadaan rumah adik perempuannya yang dinaiki air.