PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 1.5 peratus bersamaan 56 kes daripada 3,683 kes harian positif Covid-19 melibatkan kategori tiga, empat dan lima, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya, 3,627 kes bersamaan 98.5 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua. Bagi kes positif katanya, ia menunjukkan peningkatan iaitu 3,683 kes berbanding semalam, 2,897 kes sekali gus diatasi pesakit yang sembuh pula, 4,322 kes.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kembali merekodkan penurunan di bawah 300 kes apabila mencatatkan 288 kes berbanding semalam, 302 pesakit. Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula terus kekal di bawah 200 kes apabila merekodkan 162 kes berbanding semalam, 169 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, enam kluster baharu dicatatkan yang menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,120 kluster.
“Sebanyak 227 kluster aktif manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 5,893 kluster,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan mencatatkan penurunan iaitu 23 kes berbanding kelmarin, 35 kes. Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak empat daripada 23 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,338 kes. – UTUSAN ONLINE