PUTRAJAYA: Program rebat bagi pembelian barangan elektrik bernilai RM500 khusus bagi mangsa banjir terjejas bermula 7 Januari ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, program berkenaan dikendalikan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 80,000 isi rumah.
Beliau berkata, buat masa ini, sebanyak 1,400 premis terbabit dalam program rebat pembelian barangan keperluan elektrik itu.
“Saya juga mengarahkan supaya senarai premis ini ditambah bagi memudahkan mangsa banjir mendapatkan rebat belian itu khususnya yang menetap di kawasan luar bandar.Rebat belian ini juga boleh digunakan bagi pembelian menerusi platform beli-belah dalam talian seperti Shoppe, Lazada dan PG Mall,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya akan mengemas kini senarai mangsa banjir yang layak bagi program rebat itu daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). – UTUSAN ONLINE