PUTRAJAYA: Lapan orang termasuk seorang pemilik syarikat ditahan dalam satu serbuan melibatkan sebuah premis yang disyaki menjual minyak wangi tiruan di Jalan Klang Lama, dekat sini, baru-baru ini.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, operasi yang bermula pada pukul 1.45 petang dengan kekuatan empat anggota penguat kuasa diketuai Mohd. Aizamie Namami itu susulan aduan wakil cap dagangan Global Trade Shields (GTS).
Katanya, kesemua lapan warga tempatan itu sedang sibuk membungkus minyak wangi dipercayai untuk dipasarkan sekitar Semenanjung yang dijual secara dalam talian ketika serbuan dilakukan.
“Pemeriksaan lanjut, terdapat sebuah stor simpanan berada di dalam premis tersebut yang menempatkan 13,577 unit minyak wangi pelbagai jenama.
“Hasil pengecaman awal daripada wakil pihak pengadu juga mengesahkan kesemua produk tersebut adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pembungkusan minyak wangi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM117,435 dan kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Katanya, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda seperti jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Sekiranya, orang itu ialah bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuk dengan tidak menjual barangan tiruan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang itu.
“Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di dalam melakukan pembelian terutamanya secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya dengan taktik penjualan barangan tiruan ini serta tidak menyokong penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya.