70% menara telekomunikasi terjejas banjir telah dibaik pulih  - Utusan Malaysia

70% menara telekomunikasi terjejas banjir telah dibaik pulih 

ANNUAR Musa (dua dari kanan) turut sama membantu menyerahkan bantuan bantal dan tilam kepada mangsa terjejas banjir di Kampung Chennah, Titi, Jelebu hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Lebih 70 peratus daripada kira-kira 1,000 buah menara telekomunikasi yang mengalami kerosakan sehingga menyebabkan gangguan kepada liputan telekomunikasi ekoran kejadian banjir baru-baru ini telah dibaik pulih.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi baki menara telekomunikasi yang lain pula, ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari lagi untuk dibaik pulih disebabkan beberapa faktor yang sedikit rumit.

Faktor tersebut jelas beliau, termasuk jalan perhubungan terputus ke menara tersebut, tiada bekalan elektrik selain kerosakan infrastruktur yang menyebabkan kabel fiber optik yang terputus.

“Tiga isu yang utama, iaitu jalan perhubungan yang terputus, kita nak pergi ke menara itu tidak dapat. Kemudian walaupun menara tersebut telah dibaiki namun elektrik tidak ada kerana belum dipasang oleh pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan menyebabkan menara pemancar tidak dapat berfungsi.

“Ketiga, infrastruktur yang rosak telah sebabkan kita punya fiber optik terputus, itu mengambil masa minimum 10 hari, untuk kita tempah, pasang balik serta mengesan kawasan yang mana, selagi air tidak surut tidak boleh kesan di mana yang putus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan barangan bantuan kepada mangsa banjir di Balai Raya Kampung Chennah, Titi, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Tambah Annuar, daripada 1,000 buah menara telekomunikasi yang terjejas tersebut, 560 buah adalah di Pahang manakala 68 buah berada di Negeri Sembilan.

Sementara itu, jelas beliau, kos untuk membaik pulih bagi kesemua 1,000 buah menara telekomunikasi yang terjejas tersebut mencecah sehingga ratusan juta.

“Kos baik pulih sangat banyak besar bagi setiap menara pemancar telekomunikasi, jika satu menara yang tenggelam adalah lebih RM200,000 jika didarab dengan hampir 1,000 buah menara ia jadi ratusan juta hanya untuk telekomunikasi.

“Bagaimanapun saya berterima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi yang komited dan semua sudah jalankan tugas masing-masing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya